Perbezaan laman web dan blog


Penerangan mengenai blog

Blog  sebenarnya adalah ringkasan dari perkataan weblog, iaitu satu ruang perkongsian di internet melalui artikel serta komen-komen yang ditulis oleh penyelenggara dan pengunjung blog tersebut. Secara umumnya, fungsinya hampir sama seperti laman web.

Blog adalah tergolong dalam keluarga CMS (Content Management System) iaitu keseluruhan pengurusan blog boleh dilakukan di blog itu sendiri. 

Jika kita perhatikan sesebuah blog mempunyai sebuah panel paparan admin untuk menyelenggara blog. Setiap settings dan blog postings akan disimpan di pengkalan data blog dan pemilik blog sebagai admin boleh menyelenggara blog dengan mudah.

Blog boleh diselenggarakan oleh seseorang yang tidak mempunyai ilmu IT (Information Technology). Mungkin pada peringkat pemasangan memerlukan sedikit kemahiran IT akan tetapi pemilik blog boleh mendapatkan servis pemasangan blog dari mereka yang berpengalaman. 

Kandungan blog ditulis dalam bentuk seperti sebuah diari yang dicatat hari demi hari atau mungkin dalam hari yang sama yang hanya dipisahkan oleh perbezaan masa. 

Sekiranya saya menulis 3 cerita di aplikasi pemprosesan perkataan seperti Notepad atau Microsoft Word dan kemudian membuka blog saya lalu melakukan "copy paste" dengan mudah pada 3 posting blog, maka, saya akan mempunyai 3 posting (juga disebut sebagai artikel) yang dipisahkan oleh perbezaan minit.

Kandungan blog dipaparkan mengikut susunan yang terbaharu (berdasarkan tarikh dan masa) diikuti oleh kandungan yang sebelumnya.


Blog menyediakan peluang untuk pembaca menulis komen di setiap posting. Dengan adanya komen membolehkan pembaca berinteraksi sesama mereka termasuklah pemilik blog.

Rekabentuk blog mudah diselenggarakan kerana blog merupakan satu aplikasi yang membenarkan pemilik blog mengubahsuai susun-atur blog menerusi widget. 

Sesetengah sistem blog menamakan widget sebagai gadget. Widget atau gadget adalah satu ruang dibahagian-bahagian blog yang boleh anda isikan dengan kod HTML, link pautan ke laman web yang lain, imej, sebarang teks, iklan dan sebagainya. 


Penerangan mengenai laman web

Laman web tidak mempunyai pengkalan datanya sendiri. Maklumat yang dipaparkan di skrin tidak disimpan di pengkalan data tetapi ianya disimpan didalam fail-fail html. Untuk lebih mudah memahami maksud di atas, anda cuma perlu lihat senarai fail-fail didalam komputer anda menerusi “My Computer”.

Anda tentu nampak senarai dokumen-dokumen Microsoft Word, Excel, Powerpoint yang telah anda taip dan simpan di laptop bukan? Begitulah halnya dengan penyimpanan maklumat bagi laman web dalam bentuk fail-fail html, php, dan sebagainya.

Namun begitu walaupun laman web bukan sistem komputer, tetapi pada hari ini terdapat laman web yang dibangunkan untuk membaca data-data dari sesebuah sistem komputer dan memaparkannya ke skrin komputer.

Contoh yang terbaik adalah laman web perbankan online. Ianya sebuah laman web yang membaca data dari sistem deposit atau pinjaman, lalu memaparkan maklumat tersebut ke skrin komputer pelanggan mereka.

Laman Web Sukar Diselenggara


Pada peringkat awal perkembangan dunia internet, hanya laman web sahaja yang wujud. Laman web adalah berbentuk statik. Kandungan laman web ditulis di komputer dan setelah siap, ia akan dipindahkan ke server untuk tatapan pengunjung laman web tersebut. Tidak ada skrin untuk admin melakukan proses settings dan blog posting.

Kandungan Laman Web Diisi Dalam Bentuk Dokumen


Laman web ditulis dalam bentuk dokumen dimana setiap dokumen disimpan sebagai satu fail html. Setelah ke semua dokumen telah lengkap, dokumen-dokumen (fail-fail html) akan dihubungkan antara satu sama lain lalu membentuk sebuah laman web.

Laman Web Bukan Landasan Interaksi


Tidak ada kemudahan untuk berinteraksi. Pada hari ini terdapat laman web yang menyediakan ruang untuk berinteraksi tetapi laman web tersebut sebenarnya berhubung dengan sebuah lagi sistem berasingan bagi membolehkan proses interaksi dapat dilakukan.

Laman Web Kurang Popular


Mengapa? Kerana laman web lebih sesuai untuk organisasi seperti kerajaan dan syarikat. Mereka mempunyai jabatan teknologi maklumat untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Rekabentuk Laman Web Sukar Diubahsuai


Ubahsuai laman web hanya boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih dalam bidang IT. Banyak kod-kod pengaturcaraan komputer yang perlu dimasukkan untuk menjadikan laman web lebih berkesan. 

Cuba anda lihat pada laman web maybank2u, cimbclicks dan perhatikan rekabentuk laman web tersebut. Adakah mudah untuk diubahsuai oleh seseorang yang tiada kemahiran IT?